Sambutan Tahun Baru 2011 hampir kita lupai. Kesedaran untuk memperbaiki diri, memperbetul yang mana tak betul dan mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik antara agenda kita diawal tahun.
Masing-masing mempunyai azam. Sejauh mana kita berazam itu sering dipersoalkan. Ingatkah kita kepada peribahasa ” Hangat-hangat Tahi Ayam “, yang sering menghantui benak fikiran kita. Bukan senang dan semudah disangka untuk menyemat keazaman, kerana ianya menjadi penentu halatuju diri dan keluarga. Azam kita juga mencorakkan kehidupan dan perjalanan kehidupan anak-anak. Ini penting kerana anak-anak lebih-lebih lagi anak muda dan mudi yang bakal mewarisi generasi. Sejarah juga menunjukkan penentu masa depan atau jatuh bangun sesuatu bangsa dapat dilihat pada corak pemikiran anak muda. Oleh itu, kita jangan ambil mudah azam yang kita semat dalam hati. Sama-sama kita berusaha apa yang diidam dan dicita. Sekali lagi dari azam kita akan ada hala tuju, jika azam kepada kebaikan jadilah ia ibadah. Betul-betul kita berazam ianya satu doa jadilah ia pahala. Akhir sekali kita perlu semak usia tidak pernah berkurang, bertambah dan bertambah meniti penghujung. Biarlah sikit azam tapi semuanya tercapai melalui keazaman yang tinggi. |